Cakar Ayam

Jemputan menulis. KLik Sini > gegakgempita.com

🎉 New Year in loading…

Cahaya Ramadan: Budaya panjang masyarakat Melayu

Cahaya Ramadan:  Budaya panjang masyarakat Melayu

Apabila tiba Ramadan, suasana malam di Malaysiaberubah wajah. Kemeriahan lampu hiasan di kota hinggalah ke deretan pelita buluh yang menghiasi halaman rumah di kampung-kampung, cahaya seolah-olah menyambut "Roh Ramadan". Tradisi budaya menerangi malam Ramadan ini bukan sesuatu yang baru?

Ratusan tahun lalu, pengembara agung dunia Islam, Ibnu Battuta, telah mencatat fenomena ini dalam karya agungnya, Rihlah. Budaya memasang lampu yang menghiasi malam Ramadan telah berlaku semenjak abad ke-14 lagi.

Kota-Kota Islam yang Tidak Pernah Tidur


Dalam pengembaraannya merentasi Damsyik dan Kaherah, Ibnu Battuta menggambarkan kemeriahan suasana Ramadan yang dihidupkan dengan pelbagai hiasan lampu. Ibnu Battuta merakamkan kekaguman beliau ketika melihat kota-kota Islam megah dihiasi cahaya bila tibanya bulan Ramadan dengan keindahan yang luar biasa.

Damsyik yang Terang Benderang: Beliau mencatatkan bahawa masjid-masjid dipenuhi jemaah dan limpahan cahaya lampu yang memeriahkan suasana malam. Lampu lampu yang dipasang menjadi hiasan , menemani umat islam yang sibuk mencari keberkatan solat tarawih dan berqiyamullail.

Kaherah yang Meriah: Di Mesir, Ibnu Battuta menyaksikan kota Kaherah bila tibanya Ramadan menjadi "hidup" sepanjang malam. Beliau mencatat betapa masjid-masjid besar diterangi dan dihiasi cahaya pelita dan lilin.

Beliau mencatat bahawa masjid-masjid dipenuhi jemaah, lampu dan pelita dinyalakan sehingga waktu malam menjadi terang. Dalam terjemahan karya beliau, suasana itu digambarkan seperti :

“Pada malam-malam Ramadan, masjid-masjid dipenuhi manusia untuk solat, dan lampu-lampu dinyalakan dengan banyaknya sehingga malam menjadi terang.”
— Ibn Battuta, The Travels of Ibn Battuta, terj. H.A.R. Gibb, Vol. I (Hakluyt Society)
“Masjid-masjid besar diterangi dengan pelita dan lilin, dan orang ramai keluar pada malam Ramadan sehingga kota itu hidup sepanjang malam.”
— Rihla Ibn Battuta (edisi Arab, Dar Sadir, Beirut).

Daripada Keperluan Kepada Tradisi


Namun perlu disedari budaya pemasangan pelita dan lilin sebelum elektrik mempunyai tujuan yang sangat praktikal:
Keselamatan: Memudahkan perjalanan jemaah ke masjid pada waktu malam yang gelap. Kesejahteraan Ibadah: Membolehkan majlis ilmu, tadarus Al-Quran, dan solat berjemaah dilakukan dengan selesa. Simbol perayaan: Memberi perasaan istimewa ketika menyambut Ramadan berbanding bulan-bulan yang lain.

fungsi praktikal ini berkembang menjadi identiti budaya. Di Mesir, lahirlah tradisi tanglung fanous, manakala di wilayah Uthmaniyah, lampu-lampu mula digantung di antara menara masjid. Budaya ini yang akhirnya merentas benua hingga ke Alam Melayu.

Pelita di Halaman

Di kepulauan Melayu, tradisi ini diterjemahkan melalui pemasangan pelita. Walaupun berbeza—menggunakan buluh, menyusun tempurung atau tin minyak— budaya mengimarahkan kehadiran Ramadan sama dengan apa yang diraikan di Timur Tengah.

Pemasangan pelita di kampung-kampung bukan sekadar untuk menerangi jalan ke surau, tetapi ia adalah manifestasi kegembiraan menyambut tetamu agung (Ramadan) dan sebagai persiapan menyambut malam Lailatulqadar dan menjelang Aidilfitri.

Cahaya yang Tak Pernah Padam

Catatan Ibnu Battuta menjadi bukti sejarah bahawa tradisi "menerangi Ramadan" adalah warisan panjang umat Islam yang melangkaui sempadan geografi. Sama ada ia tanglung di Kaherah, lampu hiasan di Kuala Lumpur, atau pelita di kampung, semuanya membawa mesej yang sama: Ramadan adalah bulan harapan, keampunan, kegembiraan, dan cahaya.

Tradisi ini bukan sekadar hiasan, tetapi merupakan kesinambungan tamadun yang mengingatkan kita bahawa cahaya iman harus terus menyala, sebagaimana pelita yang menerangi malam-malam Ramadan.

Selamat menyambut Ramadan al-mubarak 2026-1447–1448.

Hazli Ahmad Sanusi, Taman Melawati

Sumber rujukan


Ibn Battuta, The Travels of Ibn Battuta, terj. H.A.R. Gibb, Hakluyt Society, 1958–1994.
Rihla Ibn Battuta, Dar Sadir, Beirut (edisi Arab).
Jonathan Bloom, Minaret: Symbol of Islam.
Christian Lange (ed.), kajian sejarah sensori masyarakat Islam, Brill Academic.