Cakar Ayam

Jemputan menulis. Kunjungi gegakgempita.com

🎉 New Year in loading…

Menjelang Tahun Baru

Menjelang Tahun Baru
Photo by zenad nabil / Unsplash

ENAM belas hari lagi tahun baharu 2026 akan menjelma, bermakna apa sahaja yang berlaku sepanjang Tahun 2025, menjadi sejarah dan kenangan. Masing-masing ada peristiwa sendiri - gembira, sedih, kecewa, meratap dan sebagainya. Tidak siapa dapat meramalkan apa yang akan berlaku sepanjang 365 hari bermula 1 Januari tahun depan.


Jika ditanya kepada setiap individu harapan mereka tahun depan, ramai yang bercita-cita untuk berjalan-jalan ke negara orang atau melancong. Bagi umat Islam, keutamaan mereka untuk menunaikan umrah. Jika ada peluang dan mampu, elok lah pergi. Bila sakit, apa pun tak boleh buat dan ke mana pun tak boleh pergi.


Hari ini saya berada di sebuah hospital kerajaan kerana ada temujanji dengan doktor. Seperti biasa, hospital sentiasa sesak. Di hospital swasta mungkin tidak sesesak hospital kerajaan, cuma bagi mereka yang kurang mampu, mereka mungkin mengalami sesak nafas apabila bil hospital swasta diletak di atas meja. Di hospital kerajaan tidak banyak caj dikenakan tetapi kena tahanlah menunggu berjam-jam sebelum mendapat rawatan. Kita kena puji doktor dan pekerja hospital kerana melayan pesakit tanpa henti.


Ada orang yang bernasib baik selalu melancong ke luar negara sama ada urusan kerja, perniagaan atau melancong bersama keluarga. Ada duit boleh cerita lah. Takde duit mampu dengar cerita orang sahaja lah. Ada juga orang berduit tetapi terpaksa duduk di rumah. Jika keluar pun semata-mata ke hospital untuk pemeriksaan doktor. Pergi dan balik pun berbaring dalam ambulan. Makanan dan minuman utama mereka adalah ubat-ubatan. Tidak cukup dengan ubat yang dibekalkan oleh hospital atau ubat tambahan yang dibeli daripada farmasi, mereka juga mencuba pelbagai ubat tradisional yang pahit, payau, pedas dan bermacam rasa. Mahu sembuh punya pasal, telan juga lah.


Menjelang Tahun 2026, saya nak nasihat kepada semua supaya jaga kesihatan, elakkan daripada cari penyakit. Banyak penyakit yang boleh dielakkan. Makanan yang boleh menyebabkan penyakit, eloklah kurangkan. Juga, jangan melakukan sesuatu perkara yang boleh menyebabkan kemalangan dalam apa bentuk sekali pun.

Munirah Munir
Kuala Lumpur
15 Disember 2025