Senaman Tua: Gaya Hidup Sihat Warga Emas
KUALA LUMPUR, 16 Februari — Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Ampang hari ini menganjurkan program Pengenalan Senaman Tua, satu inisiatif kesihatan komuniti melalui kaedah senaman tradisional bertempat di Pusat Aktiviti Warga Emas Ampang, bertujuan meningkatkan kesejahteraan fizikal dan mental warga emas.

Program yang diusahakan oleh Pengerusi PAWE Ampang, Puan Dr. Salwa Yunus, ini mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta yang terdiri daripada warga emas sekitar Ampang dan kawasan berhampiran. Inisiatif ini adalah usaha berterusan PAWE menyediakan aktiviti sihat dan bermakna bagi memastikan golongan warga emas sentiasa aktif, berdikari dan berdaya saing dalam kehidupan harian. Ia juga bermatlamat untuk meningkatkan tahap kesihatan golongan warga emas.
Sesi senaman dikendalikan oleh Presiden yang juga Pengetua Akademi Senaman dan Silat Melayu, Prof Azlan Ghani dibantu selia oleh guru Shaifuz, cikgu Taufik, cikgu Adi, cikgu Faizal, dengan memperkenalkan konsep Senaman Tua sebagai satu bentuk latihan pergerakan lembut berasaskan seni gerak Melayu tradisional. Senaman ini memberi penekanan kepada keseimbangan badan, kawalan pernafasan, kelenturan sendi serta pengukuhan otot secara selamat, sesuai untuk golongan berusia.

Senaman Tua bukan sahaja membantu meningkatkan tahap kecergasan fizikal, malah berperanan menenangkan minda serta mengurangkan risiko kecederaan kerana pergerakannya yang terkawal dan tidak membebankan.
Sepanjang sesi berlangsung, peserta mengikuti setiap gerakan dengan penuh semangat dan teruja mempelajari teknik baharu yang mudah diamalkan di rumah. Program ini turut menjadi platform interaksi sosial yang mengeratkan hubungan sesama komuniti warga emas.









Sihat Bersama kaedah Senaman Tua.









Sihat Bersama kaedah Senaman Tua.
Comments ()