Kursus Latihan Senaman Tua Tahap 1 & 2
Satu sesi Kursus Latihan Senaman Tua Tahap 1 & 2 telah diadakan bertempat di Studio majalah SENI BELADIRI, Taman Setapak Indah, Kuala Lumpur anjuran bersama Persatuan Pengamal Senaman Melayu Malaysia (PERSENAM), Persatuan Seni Silat Melayu Keris Lok 9 Malaysia (Lok 9), Majalah Seni Beladiri terbitan Azlan Ghanie Managment (M) Sdn Bhd, Akademi Senaman & Silat Melayu dengan penyertaan 10 orang peserta.
Kursus Latihan ini telah dikendalikan oleh Prof. Azlan Ghanie, dibantu Guru Saifuz dan Cikgu Faizal. Sesi latihan memberi penekanan kepada penguasaan asas pergerakan, teknik serta kefahaman terhadap gerakan-gerakan Senaman Tua bagi Tahap 1 & 2.
Para peserta diberikan bimbingan, penerangan dan tunjuk ajar secara berperingkat bagi membantu mereka memahami serta meningkatkan keyakinan dalam melakukan gerakan.
Projek Demo Peserta
Antara perkara yang mencuit hati dan menceriakan suasana latihan ialah apabila setiap peserta diminta untuk membuat satu demo secara individu dengan memilih satu gerakan Senaman Tua sebagai projek demo masing-masing.
Setiap peserta kemudiannya perlu mempersembahkan gerakan pilihan mereka di hadapan Prof. Azlan Ghanie dan barisan pelatih yang berpengalaman. Walaupun pada mulanya ada yang mungkin berasa sedikit gementar apabila perlu tampil seorang diri di hadapan para guru, sesi demo ini akhirnya menjadi satu pengalaman yang menarik dan menghiburkan.
Aktiviti tersebut bukan sahaja menguji sejauh mana peserta memahami dan menguasai gerakan yang telah dipelajari, malah turut membantu membina keyakinan diri, keberanian dan kesediaan untuk menerima teguran serta memperbaiki teknik.
Lebih menarik, setiap peserta mempunyai pilihan dan gaya tersendiri ketika menggayakan gerakan masing-masing. Suasana latihan menjadi lebih santai apabila para peserta saling memberikan sokongan dan menyaksikan rakan-rakan mereka membuat demo.



Dari kiri: Prof Azlan Ghani, Guru Saifuz dan Cikgu Faizal.
Senarai Peserta
- MOHD FIRDAUS BIN MOHD YASIN
- NOORAZLIZA BINTI MAT
- ANNUR DAMIA BINTI MOHD FIRDAUS
- MUHAMMAD ARIF BIN MOHD FIRDAUS
- NOORSUHAIDA BINTI MD NOOR
- SYED HELMY BIN SYED ABU BAKAR
- ASHAMIRA BINTI MUSTAFFA
- HAZLI BIN AHMAD SANUSI
- ABDUL WAFIY BIN SAHAR
- MOHAMED FAIZUL NIZAM BIN MOHAMED NAJIB
Latihan ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan kemahiran dan kefahaman peserta dalam Senaman Tua, malah menjadi ruang untuk memupuk disiplin, kesungguhan, kecergasan fizikal, keyakinan diri serta semangat persaudaraan dalam kalangan peserta.
Pada masa yang sama, latihan sebegini penting dalam usaha memelihara dan meneruskan warisan ilmu serta tradisi seni bela diri Melayu agar terus dikenali, dihargai dan dipelajari oleh generasi seterusnya.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada Prof. Azlan Ghanie, Guru Saifuz dan Cikgu Faizal atas segala ilmu, tunjuk ajar dan bimbingan yang diberikan sepanjang sesi latihan. Pada sesi Tahap 2, para peserta turut berpeluang mendengar perkongsian pengalaman daripada Cikgu Lina dan Guru Nabil. Perkongsian tersebut memberikan satu perspektif yang menarik serta menambahkan kefahaman dan pengalaman para peserta dalam mempelajari Senaman Tua.
Segala ilmu, pengalaman dan tunjuk ajar yang dikongsikan oleh para guru amat dihargai dan diharapkan dapat menjadi bekalan kepada para peserta untuk terus memperbaiki diri serta mendalami ilmu Senaman Tua.
Menariknya lagi, program ini juga menyediakan satu laluan pembelajaran yang tersusun dan berperingkat, bermula daripada Tahap 1 dan seterusnya ke tahap-tahap yang lebih tinggi, sehingga ke peringkat akademik PhD. Ini menunjukkan bahawa ilmu Senaman dan Silat Melayu bukan sekadar dipelajari sebagai kemahiran fizikal, tetapi boleh diterokai secara lebih mendalam melalui pembelajaran, kajian dan pengembangan ilmu sehingga ke peringkat tertinggi.
Semoga latihan Senaman Tua ini terus berkembang sebagai wadah memperkukuh penguasaan ilmu, kesihatan, keyakinan diri serta warisan seni bela diri Melayu.
Layari http://www.senamantua.org untuk lebih maklumat tentang Senaman Tua.


Sekitar sesi latihan




