UNITAR UUCKL dan Kakatoo F&B Group Jalin Kerjasama Strategik Tingkat Kebolehpasaran Graduan
KUALA LUMPUR, 23 Jun 2026 – UNITAR University College Kuala Lumpur (UUCKL) dan Kakatoo F&B Group telah memeterai kerjasama strategik menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) yang membuka lebih banyak peluang pendedahan industri serta pembelajaran berasaskan pengalaman kepada para pelajar.
Majlis pemeteraian yang berlangsung di UUCKL itu menandakan permulaan kerjasama di bawah Program IMMERSION (Internship, Learn & Earn), sebuah inisiatif yang dirangka bagi melengkapkan pelajar Tahun 3 dengan pengalaman industri yang bernilai serta kemahiran praktikal yang diperlukan dalam dunia pekerjaan.
MoU tersebut ditandatangani bagi pihak UUCKL oleh Naib Canselor, Dr. Jagdeep Singh Jassel A/L Satwant Singh dan Ketua Operasi & Bendahari, Puan Sry Haryane Mohd Nor. Sementara Kakatoo F&B Group, diwakili oleh Pengerusi Kakatoo F&B Group, Datuk Mohd Yusof bin Izahar dan Ketua Pegawai Eksekutif, Ms. Chong Yuen Yuen (Joyce Chong) .
Melalui kerjasama ini, para pelajar akan mendapat akses kepada pelbagai peluang penglibatan industri termasuk program latihan industri, inisiatif Learn & Earn, program mobiliti lapangan, sesi jaringan perniagaan, lawatan industri, pameran projek serta pelbagai aktiviti pembelajaran berasaskan pengalaman yang bertujuan meningkatkan kesiapsiagaan mereka untuk memasuki alam pekerjaan.
Kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama kedua-dua organisasi dalam merapatkan jurang antara akademia dan industri menerusi penyediaan pendedahan dunia sebenar serta pengalaman pembelajaran secara praktikal kepada pelajar. Ia juga menyokong usaha melahirkan graduan yang bersedia untuk industri dengan pengetahuan, kemahiran dan kompetensi profesional yang diperlukan dalam pasaran pekerjaan yang semakin kompetitif.
Majlis tersebut diakhiri dengan sesi pertukaran dokumen secara rasmi dan cenderahati. Majlis diakhiri dengan sesi jamuan kecil. Sesi tersebut turut membuka ruang untuk mengukuhkan hubungan serta meneroka peluang kerjasama pada masa hadapan dalam bidang pembangunan bakat, pendidikan berasaskan pengalaman dan penglibatan industri.
Kerjasama ini dijangka mewujudkan peluang yang lebih bermakna kepada para pelajar, di samping memperkukuhkan kepentingan kolaborasi antara institusi pendidikan dan pemain industri dalam melahirkan tenaga kerja masa depan yang berdaya saing.




























Comments ()