Sumpah seranah di jalan raya
Petang semalam keadaan trafik di Lembah Klang dan sekitar bandaraya Kuala Lumpur agak teruk. Di kebanyakan tempat, keadaannya kalut. Bagi penghuni dan penduduk di ibu negara ini, macet adalah fenomina biasa, bak kata pepatah Melayu alah bisa, tegal biasa. Bagi wartawan, kesesakan jalan raya di KL dah tidak ada nilai berita.
Kalau KL lengang, mungkin itu boleh dijadikan berita kerana ia berlaku hanya sehari dua sahaja dalam setahun apabila penduduk KL balik kampung. Sekarang pun jarang sangat keadaan ini berlaku. Ini kerana kesibukan di KL berlaku sepanjang masa kerana ia adalah Kota metropolitan yang dihuni oleh penduduk pelbagai kaum, rakyat tempatan dan warga asing.
Sebenarnya, kesesakan jalan raya mengajar kita erti kesabaran. Tidak perlu lah menipu diri sendiri kalau ramai yang sanggup menahan sabar.Semalam saya melihat bagaimana seorang pemandu kereta hilang sabar apabila ada seorang pemandu sebuah kereta lain memintas secara mengejut di depan keretanya menyebabkan dia menekan brek keretanya, juga secara mengejut. Kalau satu saat lewat sahaja, dah pasti berlaga. Suasana menjadi bising apabila pemandu kereta yang dipintas menekan hon keretanya berkali-kali agak lama.
Keadaan kecoh terjadi apabila beberapa pengguna jalan raya yang lain tumpang sekaki membunyikan hon masing-masing.
Keadaan reda apabila semua kenderaan mula bergerak perlahan-lahan. Rasanya ramai yang pernah mengalami situasi yang sama, sama ada memintas atau yang dipintas. Pintas memintas di jalan raya adalah perkara biasa. Sebetulnya orang dipintas itu marah bukan disebabkan ia dipintas tetapi disebabkan orang yang memintas itu tidak meminta kebenaran untuk memintas. Bahasa kasarnya kurang ajar lah. Sebaliknya, jika dia membuka tingkap kereta sambil tersenyum dan memberi isyarat untuk memintas, rasanya orang yang dipintas itu akan mengalah, tambahan pula jika yang memintas itu adalah wanita. Pada saya ramai pemandu yang akan rela hati memberi laluan. Tetapi, jika setiap pemandu menganggap jalan raya seperti bapa dia yang punya memang setiap hari kena sumpah seranah. Jangan main-main dengan sumpah.
Najib Nazua,
Kuala Lumpur
17 Disember 3025
Comments ()